Sabtu, 28 November 2009

Jerit perit rintih merintih panggilan pulau


Terdapat 6 buah rumah telah dihanyutkan semasa banjir pusingan ke-2 yang berlaku di Kg. Teluk Renjuna Tumpat Kelantan. Mereka menyambut hari raya dalam suasana "terkejut" bimbang sehinggakan hanya seekor lembu sahaja dikorbankan sebagai melangsaikan tanggungjawab pada hari raya korban. Masih kedapatan rumah yang bakal dihanyutkan jika berlaku sekali lagi air pasang besar banjir pusingan ke-3. Selanjutnya ikutilah berita dari Sinar Harian pada 27hb Nov 2009.

Rakyat beraya dalam banjir

KOTA BHARU - Menjelang tibanya Aidiladha esok, rakyat negeri ini dijangka menyambut hari kebesaran Islam dalam suasana kesederhanaan diselangi degan keadaan yang masih lagi dilanda banjir.

Malah, tinjauan mendapati beberapa pusat pemindahan sudah mula menyediakan keperluan serba ringkas kepada penghuninya untuk menyambut lebaran bersama keluarga.

Setakat jam 5 petang semalam , jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan angka penurunan ketara iaitu 2,311 orang berbanding 3,513 orang semalam, namun dijangka tidak kekal memandangkan keadaan hujan masih lagi melanda di beberapa tempat di negeri ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, berkata sehingga jam 6 petang semalam paras air masih meningkat terutama di Pasir Mas menyebabkan seramai 1,257 mangsa banjir berpindah pada sembilan pusat pemindahan di jajahan itu.

“Jajahan Tumpat pula kini mencatat mangsa pemindahan seramai 833 orang pada dua pusat pemindahan.

“Bagi jajahan Kuala Krai, jumlah mangsa berpindah semakin berkurangan kepada 210 orang pada tiga pusat pemindahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, di Machang pula, jumlah keluarga yang berpindah seramai 11 keluarga pada satu pusat pemindahan.

Sementara itu, keadaan cuaca yang masih lagi tidak stabil, selain beberapa tempat masih digenangi air tidak menghalang perantauan yang mula pulang berhari raya bersama keluarga masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian di jalan Gua Musang-Kuala Krai mendapati jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan melalui sempena cuti perayaan Aidiladha bertambah bermula malam dijangka meningkat malam ini.

Beberapa lokasi tumpuan seperti Stesen Minyak Shell, Dataran Kesedar dan Hentian Rehat Gua Musang mendapati telah ramai perantauan mula memenuhi kawasan tersebut untuk berehat dan juga mengisi minyak.

Cuti sekolah yang telah bermula sejak Jumaat lalu digunakan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah untuk pulang awal ke kampung halaman.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan, polis trafik telah pun ditugaskan untuk membuat pemantauan keadaan lalu lintas di jalan-jalan utama di daerah ini.

Menurutnya, laluan yang menjadi tumpuan adalah Gua Musang Kuala Krai dan Gua Musang Merapoh.

“Sepanjang tempoh perayaan ini, kita telah menugaskan anggota trafik untuk memantau keadaan lalu lintas bagi memastikan kenderaan dapat bergerak dengan lancar,” katanya.


Banjir di Kelantan

KOTA BHARU - Banjir di Kelantan hampir pulih sepenuhnya apabila sehingga petang semalam hanya dua pusat pemindahan di jajahan Tumpat masih dibuka.

Pusat pemindahan di jajahan lain telah ditutup sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri berkata, jumlah mangsa pemindahan yang ditempatkan di jajahan terbabit kini seramai 561 orang membabitkan 154 keluarga.

“Banjir yang semakin kering dan surut sepenuhnya ekoran cuaca panas di Kelantan sejak semalam (kelmarin) menyebabkan kesemua mangsa pemindahan di semua jajahan selain Tumpat telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara beransur-ansur sejak pagi tadi (semalam).

“Keadaan lalu lintas juga semakin pulih apabila hanya satu jalan di jajahan Tumpat yang masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti di Kilometer 6-7,” katanya.

Sungai yang berada di atas paras bahaya ialah Sungai Golok di Rantau Panjang manakala Sungai Kelantan di jambatan Guillemard pula berada atas paras berjaga-jaga.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian sehingga jam 5 petang semalam masih kekal seramai 562 orang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenda Mat Fauzi Nayan berkata, mereka masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, dan Sekolah Kebangsaan Matang Buluh.

Mereka berasal dari Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima, katanya.

Mat Fauzi berkata, air di kampung terbabit masih bertahan sedalam satu meter sejak lebih dua minggu lepas akibat limpahan daripada empangan Kolam Bukit Merah serta Sungai Beriah.


Tiga pusat pemindahan banjir dibuka


TUMPAT - Tiga buah pusat pemindahan banjir mulai dibuka apabila beberapa buah kampung di sepanjang Sungai Golok dan Sungai Kelantan mula dinaiki air sejak awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap berkata, tiga pusat pemindahan banjir tersebut adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan dan SK Pengkalan Kubor 2 untuk mangsa banjir yang dipindahkan dari kampung sepanjang Sungai Golok melibatkan Kampung Simpangan, Kampung Kuala Jambu, Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Pisau Raut.

Menurutnya, satu lagi pusat pemindahan banjir adalah di SK Kok Keli untuk mangsa banjir sepanjang Sungai Kelantan melibatkan Kampung Laut, Kampung Pak Nelarang, Kok Majid, Kampung Chat dan Kampung Kok Keli.

“Setakat jam 1 tengah hari, seramai 709 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan banjir tersebut.

“Pusat pemindahan banjir SK Pengkalan Kubor 2 baru dibuka hari ini (semalam) apabila air hujan dari hulu mulai turun ke daerah ini,” katanya.

“Keadaan air semakin naik dan lebih ramai lagi mangsa banjir akan dipindahkan dan mana-mana penduduk di kawasan rendah, bersiap sedia untuk pindah sekiranya diarahkan berpindah,” katanya.

Menurutnya, pemantauan dari semasa ke semasa di sepanjang Sungai Golok dan Sungai Kelantan diadakan dalam menghadapi banjir gelombang kedua ini.

0 ulasan: