Sabtu, 28 November 2009

Jerit perit rintih merintih panggilan pulau


Terdapat 6 buah rumah telah dihanyutkan semasa banjir pusingan ke-2 yang berlaku di Kg. Teluk Renjuna Tumpat Kelantan. Mereka menyambut hari raya dalam suasana "terkejut" bimbang sehinggakan hanya seekor lembu sahaja dikorbankan sebagai melangsaikan tanggungjawab pada hari raya korban. Masih kedapatan rumah yang bakal dihanyutkan jika berlaku sekali lagi air pasang besar banjir pusingan ke-3. Selanjutnya ikutilah berita dari Sinar Harian pada 27hb Nov 2009.

Rakyat beraya dalam banjir

KOTA BHARU - Menjelang tibanya Aidiladha esok, rakyat negeri ini dijangka menyambut hari kebesaran Islam dalam suasana kesederhanaan diselangi degan keadaan yang masih lagi dilanda banjir.

Malah, tinjauan mendapati beberapa pusat pemindahan sudah mula menyediakan keperluan serba ringkas kepada penghuninya untuk menyambut lebaran bersama keluarga.

Setakat jam 5 petang semalam , jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan angka penurunan ketara iaitu 2,311 orang berbanding 3,513 orang semalam, namun dijangka tidak kekal memandangkan keadaan hujan masih lagi melanda di beberapa tempat di negeri ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, berkata sehingga jam 6 petang semalam paras air masih meningkat terutama di Pasir Mas menyebabkan seramai 1,257 mangsa banjir berpindah pada sembilan pusat pemindahan di jajahan itu.

“Jajahan Tumpat pula kini mencatat mangsa pemindahan seramai 833 orang pada dua pusat pemindahan.

“Bagi jajahan Kuala Krai, jumlah mangsa berpindah semakin berkurangan kepada 210 orang pada tiga pusat pemindahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, di Machang pula, jumlah keluarga yang berpindah seramai 11 keluarga pada satu pusat pemindahan.

Sementara itu, keadaan cuaca yang masih lagi tidak stabil, selain beberapa tempat masih digenangi air tidak menghalang perantauan yang mula pulang berhari raya bersama keluarga masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian di jalan Gua Musang-Kuala Krai mendapati jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan melalui sempena cuti perayaan Aidiladha bertambah bermula malam dijangka meningkat malam ini.

Beberapa lokasi tumpuan seperti Stesen Minyak Shell, Dataran Kesedar dan Hentian Rehat Gua Musang mendapati telah ramai perantauan mula memenuhi kawasan tersebut untuk berehat dan juga mengisi minyak.

Cuti sekolah yang telah bermula sejak Jumaat lalu digunakan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah untuk pulang awal ke kampung halaman.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan, polis trafik telah pun ditugaskan untuk membuat pemantauan keadaan lalu lintas di jalan-jalan utama di daerah ini.

Menurutnya, laluan yang menjadi tumpuan adalah Gua Musang Kuala Krai dan Gua Musang Merapoh.

“Sepanjang tempoh perayaan ini, kita telah menugaskan anggota trafik untuk memantau keadaan lalu lintas bagi memastikan kenderaan dapat bergerak dengan lancar,” katanya.


Banjir di Kelantan

KOTA BHARU - Banjir di Kelantan hampir pulih sepenuhnya apabila sehingga petang semalam hanya dua pusat pemindahan di jajahan Tumpat masih dibuka.

Pusat pemindahan di jajahan lain telah ditutup sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Negeri berkata, jumlah mangsa pemindahan yang ditempatkan di jajahan terbabit kini seramai 561 orang membabitkan 154 keluarga.

“Banjir yang semakin kering dan surut sepenuhnya ekoran cuaca panas di Kelantan sejak semalam (kelmarin) menyebabkan kesemua mangsa pemindahan di semua jajahan selain Tumpat telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara beransur-ansur sejak pagi tadi (semalam).

“Keadaan lalu lintas juga semakin pulih apabila hanya satu jalan di jajahan Tumpat yang masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti di Kilometer 6-7,” katanya.

Sungai yang berada di atas paras bahaya ialah Sungai Golok di Rantau Panjang manakala Sungai Kelantan di jambatan Guillemard pula berada atas paras berjaga-jaga.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian sehingga jam 5 petang semalam masih kekal seramai 562 orang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenda Mat Fauzi Nayan berkata, mereka masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, dan Sekolah Kebangsaan Matang Buluh.

Mereka berasal dari Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima, katanya.

Mat Fauzi berkata, air di kampung terbabit masih bertahan sedalam satu meter sejak lebih dua minggu lepas akibat limpahan daripada empangan Kolam Bukit Merah serta Sungai Beriah.


Tiga pusat pemindahan banjir dibuka


TUMPAT - Tiga buah pusat pemindahan banjir mulai dibuka apabila beberapa buah kampung di sepanjang Sungai Golok dan Sungai Kelantan mula dinaiki air sejak awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap berkata, tiga pusat pemindahan banjir tersebut adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan dan SK Pengkalan Kubor 2 untuk mangsa banjir yang dipindahkan dari kampung sepanjang Sungai Golok melibatkan Kampung Simpangan, Kampung Kuala Jambu, Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Pisau Raut.

Menurutnya, satu lagi pusat pemindahan banjir adalah di SK Kok Keli untuk mangsa banjir sepanjang Sungai Kelantan melibatkan Kampung Laut, Kampung Pak Nelarang, Kok Majid, Kampung Chat dan Kampung Kok Keli.

“Setakat jam 1 tengah hari, seramai 709 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan banjir tersebut.

“Pusat pemindahan banjir SK Pengkalan Kubor 2 baru dibuka hari ini (semalam) apabila air hujan dari hulu mulai turun ke daerah ini,” katanya.

“Keadaan air semakin naik dan lebih ramai lagi mangsa banjir akan dipindahkan dan mana-mana penduduk di kawasan rendah, bersiap sedia untuk pindah sekiranya diarahkan berpindah,” katanya.

Menurutnya, pemantauan dari semasa ke semasa di sepanjang Sungai Golok dan Sungai Kelantan diadakan dalam menghadapi banjir gelombang kedua ini.

Khamis, 26 November 2009

Daerah Tumpat-Hari Raya Korban, Banjir, Dikir Barat



Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua muslimin dan muslimat seluruh dunia. Kepada jemaah haji semoga mendapat haji mabrur.

Banjir yang melanda Tumpat kini reda dan semakin surut sama redanya konflik politik di Kelantan buat masa kini. Terdapat lebih lima ribu orang masih lagi berada di pusat pemindahan banjir di Kelantan dan Terengganu. Di Daerah Tumpat hanya tinggal 2 pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi iaitu di SK Bunohan dan SK Pengkalan Kubor. Antara kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Pulau Ular, Simpangan, Mentua, Teluk Jering, Cherang Melintang, Kg. Ana, Kg. Tok Oh, Kok Majid, Teluk Ranjuna dan Kg. Laut. Bagaimanakah penduduk-penduduk di kampung tersebut merayakan Hari Raya Aidil Adha? Justeru itu wajarlah Perdana Menteri menyeru bagi warga yang berada di luar kawasan banjir menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir samada beruba barangan atau wang ringgit demi meringankan beban dan kemusnahan harta benda mangsa-mangsa banjir tersebut.

Tuntutan ibadah korbanmenggambarkan kesyukuran kepada Tuhan dan kejayaan besar bagi umat yang dapat membuat pengorbanan kerana konsepnya dapat disemarakkan sepanjang masa. Oleh itu ibadat korban bukti gambaran kesyukuran dan dapat mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam.

Dalam masa yang sama, Daerah Tumpat telah di glamourkan dengan sensasinya melalui Dikir Barat Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang telah disiar secara langsung oleh TV2 pada malam 22 Nov yang lalu dari Auditorium Perdana Angkasapuri Kuala Lumpur di mana Kumpulan Seri Arena diterajui oleh Hussain B Ab. Rahman sebagai Juara dan Mohd Zahari sebagai Tukang Karut. Kumpulan ini merupakan antara puluhan kumpulan yang terdapat di Jajahan Tumpat. Ditubuhkan pada Februari 2003 dengan inisiatif sendiri dan berbekalkan semangat cintakan seni budaya. Kumpulan ini juga seringkali mengambil bahagian dalam Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan Anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia tetapi hanya mampu ke pringkat suku akhir dan separuh akhir sahaja. Kumpulan ini selalu mendapat undangan untuk membuat persembahan di majlis-majlis rasmi di dalam dan luar Negeri Kelantan. Selain itu pernah diundang untuk mewakili Negeri Kelantan ke Festival Kebudayan Antarabangsa di Seremban, Negeri Sembilan. Kumpulan Sri Istana merupakan pencabar utama yang diterajui oleh Mohd Rodhi Bin Mamat sebagai Juara dan Azhar Bin Yaacob sebagai Tukang karut kumpulan tersebut. Kumpulan ini ditubuhkan di sekitar tahun 2004. Pada asalnya kumpulan ini hanya bergiat dalam kawasan istana Tumpat kerana dahulunya ahli-ahlinya bekerja dalam istana. Pada mulanya kumpulan ini hanya dianggotai seramai 20 orang. Kumpulan ini juga banyak membuat persembahan di khalayak ramai termasuk persembahan sempena Majlis Ramah Mesra Pegawai Kerajaan Malaysia/Thailand yang berlangsung di Tak Bai, Thailand. Syabas kepada kedua-dua pasukan ini kerana sekurang-kurangnya diary tahun 2009 yang akan melabuhkan tirainya dapat diselitkan secalit jua peristiwa manis untuk Jajahan Tumpat. Sehubungan itu Pejabat Penerangan Tumpat pun terpalit jua dalam publisiti ini.

"Majulah Seni untuk Budaya Bangsa"

Selasa, 24 November 2009

Kumpulan Sri Arena, Tumpat Johan Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan 2009

Kumpulan Sri Arena, Tumpat Johan Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan 2009
Kuala Lumpur 22 Nov – Sri Arena Tumpat Kelantan telah berjaya menggondol hadiah wang tunai berjumlah RM 20,000 apabila di nobatkan sebagai johan pertandingan Dikir Barat Kebangsaan anjuran RTM. Manakala naib johan pula disandang oleh kumpulan Sri Istana, Tumpat dengan hadiah sebanyak RM 15,000. Bagi Juara terbaik pula disandang oleh Hassan Sri Panggung (Sri Arena, Tumpat) dengan hadiah sebanyak RM 3000, manakala Tukang karut terbaik pula di sandang oleh Azhar atau Kohar Teknik (Sri Istana, Tumpat) dengan hadiah sebanyak RM 3000. Kedua-dua kumpulan dikir barat tersebut telah memberikan persembahan yang terbaik tetapi nasib lebih menyebelahi kumpulan Sri Arena walaupun terdapat kecacatan persembahan semasa tukang karut menyampaikan persembahan. Walau bagaimanapun tahniah diucapkan kepada kumpulan Sri Arena Tumpat Kelantan dari Komuniti Dikir Barat.net kerana berjaya menjadi johan Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan RTM. Bagi kumpulan yang tidak berjaya di harapkan jangan berputus asa cuba lagi di tahun hadapan.

Sabtu, 14 November 2009

MENDERMA DARAH AMALAN MULIA

Dimaklumkan dengan hormatnya

Unit Tabung Darah HUSM memerlukan kerjasama orang ramai agar menderma darah bagi mempastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
Kiosk/kaunter derma darah dibuka di SK Morak Tumpat pada 14 November 2009 (Sabtu) sempena Program Sepakat Bestari Daerah Tumpat anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tumpat dengan kerjasama K-Bestari Daerah Tumpat bermula 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
Menderma darah adalah amalan mulia, setitik darah sejuta jasa.
Selamat menderma.
Terima kasih.

Jumaat, 13 November 2009

sepakat bestari

Dimaklumkan dan dijemput hadir ke:

PROGRAM SEPAKAT BESTARI DAERAH TUMPAT 2009

PADA : 14 NOVEMBER 2009(Sabtu)

TEMPAT : SEKOLAH KEBANGSAAN MORAK TUMPAT , KELANTAN.

MASA:
DARI JAM 8.00 PAGI HINGGA 2.00PTG

AKTIVITI

1.PAMERAN DAN PERKHIDMATAN KAUNTER MULA 9.30 PG - 2.00 PTG

2.SENAMROBIK PERDANA DAN THAI CHI SEE KONG..8.30 PAGI

3.PAMERAN AGENSI OLEH AADK, PERTANIAN, KIST, KEBAJIKAN,
JAB. KESIHATAN DAN DERMA DARAH-HOSPITAL USM,NILAM OPTIK DLL

4.SEMUA K. BESTARI DAERAH TUMPAT MENGAMBIL BAHAGIAN DALAM PERTANDINGAN
GUBAHAN DAN MEMASAK.

5.KAUNTER PERKHIDMATAN PEMERIKSAAN KESIHATAN PERCUMA.

6.PERTANDINGAN MEWARNA(KOLAJ) KANAK-KANAK TABIKA Jam 9.30 pg

7.ACARA SUKAN RAKYAT DAN SUKANEKA KANAK-KANAK - Jam 9.00PAGI

10.KENDURI KAMPUNG - GULAI KAWAH JAM 12.00 TGH

11. ACARA PERSEMBAHAN TOMOI (Pengurus Pak Nik Him & PPM Abg Soh)

12. SIMFONI TRADISIONAL-AMIN AND GROUPS
SELINGAN : SIMFONI TRADISIONAL DGN LAGU-LAGU EVERGREEN.(FENDI KENALI
PENYANYI UTAMA DLL)

HAMPER CABUTAN BERTUAH DISEDIAKAN PADA JAM 9 PAGI-2 PTG.

RADIO PUISI PESISIR AKAN MELAYAN ANDA UNTUK MEMENUHI LAGU-LAGU PERMINTAAN
SEPANJANG PESTA TERSEBUT.

CABUTAN BERTUAH- TV 29 INCI DAN BARANGAN ELEKTRIK SERTA 50 HAMPER DISEDIAKAN
UNTUK ANDA SEMUA.

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI KE
PROGRAM SEPAKAT BESTARI 2009
DI SK MORAK , TUMPAT, KELANTAN.

ANJURAN : PEJABAT PENERANGAN DEAERAH TUMPAT DENGAN KERJASAMA KOMUNITI
BESTARI DAERAH TUMPAT.

Terima kasih.