Khamis, 26 November 2009

Daerah Tumpat-Hari Raya Korban, Banjir, Dikir Barat



Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua muslimin dan muslimat seluruh dunia. Kepada jemaah haji semoga mendapat haji mabrur.

Banjir yang melanda Tumpat kini reda dan semakin surut sama redanya konflik politik di Kelantan buat masa kini. Terdapat lebih lima ribu orang masih lagi berada di pusat pemindahan banjir di Kelantan dan Terengganu. Di Daerah Tumpat hanya tinggal 2 pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi iaitu di SK Bunohan dan SK Pengkalan Kubor. Antara kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Pulau Ular, Simpangan, Mentua, Teluk Jering, Cherang Melintang, Kg. Ana, Kg. Tok Oh, Kok Majid, Teluk Ranjuna dan Kg. Laut. Bagaimanakah penduduk-penduduk di kampung tersebut merayakan Hari Raya Aidil Adha? Justeru itu wajarlah Perdana Menteri menyeru bagi warga yang berada di luar kawasan banjir menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir samada beruba barangan atau wang ringgit demi meringankan beban dan kemusnahan harta benda mangsa-mangsa banjir tersebut.

Tuntutan ibadah korbanmenggambarkan kesyukuran kepada Tuhan dan kejayaan besar bagi umat yang dapat membuat pengorbanan kerana konsepnya dapat disemarakkan sepanjang masa. Oleh itu ibadat korban bukti gambaran kesyukuran dan dapat mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam.

Dalam masa yang sama, Daerah Tumpat telah di glamourkan dengan sensasinya melalui Dikir Barat Kenegaraan Peringkat Kebangsaan yang telah disiar secara langsung oleh TV2 pada malam 22 Nov yang lalu dari Auditorium Perdana Angkasapuri Kuala Lumpur di mana Kumpulan Seri Arena diterajui oleh Hussain B Ab. Rahman sebagai Juara dan Mohd Zahari sebagai Tukang Karut. Kumpulan ini merupakan antara puluhan kumpulan yang terdapat di Jajahan Tumpat. Ditubuhkan pada Februari 2003 dengan inisiatif sendiri dan berbekalkan semangat cintakan seni budaya. Kumpulan ini juga seringkali mengambil bahagian dalam Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan Anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia tetapi hanya mampu ke pringkat suku akhir dan separuh akhir sahaja. Kumpulan ini selalu mendapat undangan untuk membuat persembahan di majlis-majlis rasmi di dalam dan luar Negeri Kelantan. Selain itu pernah diundang untuk mewakili Negeri Kelantan ke Festival Kebudayan Antarabangsa di Seremban, Negeri Sembilan. Kumpulan Sri Istana merupakan pencabar utama yang diterajui oleh Mohd Rodhi Bin Mamat sebagai Juara dan Azhar Bin Yaacob sebagai Tukang karut kumpulan tersebut. Kumpulan ini ditubuhkan di sekitar tahun 2004. Pada asalnya kumpulan ini hanya bergiat dalam kawasan istana Tumpat kerana dahulunya ahli-ahlinya bekerja dalam istana. Pada mulanya kumpulan ini hanya dianggotai seramai 20 orang. Kumpulan ini juga banyak membuat persembahan di khalayak ramai termasuk persembahan sempena Majlis Ramah Mesra Pegawai Kerajaan Malaysia/Thailand yang berlangsung di Tak Bai, Thailand. Syabas kepada kedua-dua pasukan ini kerana sekurang-kurangnya diary tahun 2009 yang akan melabuhkan tirainya dapat diselitkan secalit jua peristiwa manis untuk Jajahan Tumpat. Sehubungan itu Pejabat Penerangan Tumpat pun terpalit jua dalam publisiti ini.

"Majulah Seni untuk Budaya Bangsa"

0 ulasan: