Sabtu, 14 Februari 2009

UNDI POS MASIH RELEVAN

BUKIT GANTANG DAN BUKIT SELAMBAU
Undi Pos adalah salah satu kemudahan mengundi yang disediakan kepada golongan tertentu yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab mengundi secara biasa kerana kesibukan bertugas atau berada di luar negara. Terdapat dua kategori undi pos iaitu mereka yang dikategorikan sebagai pengundi tidak hadir dan golongan pemilih biasa yang diberi kemudahan oleh SPR untuk mengundi secara pos.
Undi pos dikawal oleh Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (pengundian Pos) 1959 yang telah digunapakai sejak pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1959.
Sepertimana di kebanyakan negara, kertas undi pos dikeluarkan kepada pemilih-pemilih yang terlibat, lebih awal daripada kertas undi biasa. Kertas undi biasanya dikembalikan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya tidak lewat daripada 5.00 petang pada hari pengundian. Kertas-kertas undi pos yang tiba selepas waktu tersebut tidak akan dikira. Golongan-golongan yang dikeluarkan dengan undi pos adalah seperti berikut:
(a) Pengundi Tak Hadir
i. Anggota tentera;ii. Isteri/Suami anggota tentera; iii. Pegawai Kerajaan bertugas di luar sempadan Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak;iv. Isteri/Suami Pegawai Kerajaan bertugas di luar sempadan Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak;v. Pelajar yang menuntut di luar sempadan Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak;vi. Isteri/Suami pelajar yang menuntut di luar sempadan Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak;
(b) Pemilih Biasa yang diberi undi pos
i. Pegawai-pegawai Pilihan Raya;ii. Anggota Polis Biasa;iii. Pegawai Perkhidmatan Awam yang bertugas di luar Malaysia pada hari mengundi;iv. Anggota-anggota Suruhanjaya Pilihan Raya;v.Golongan-golongan yang diwartakan oleh SPR sebagai layak untuk mengundi secara pos.
Sebenarnya pengundian secara pos merupakan satu kaedah yang digunapakai oleh semua negara di dunia. Di Malaysia ianya telah mula digunakan sejak pilihan raya umum pertama pada tahun 1959 dan berterusan setiap pilihan raya umum berikutnya. Walaupun terdapat pihak yang mempertikaikan sistem pengundian secara pos tetapi hakikatnya ialah pengundian pos tetap masih relevan dan perlu dikekalkan untuk pengundi-pengundi tertentu yang tidak dapat keluar mengundi seperti pengundi biasa pada hari mengundi.
Bantahan yang sering dikemukakan berhubung dengan pengundian pos ialah mengenai keraguan bagaiman cara pengundian dilakukan. Ada pihak yang mendakwa pengundian pos dilakukan secara paksa di mana pengundi-pengundi diminta mengundi calon-calon tertentu. Dakwaan ini adalah salah kerana mengikut keputusan beberapa pilihan raya kecil yang lepas tidak semua undi pos pergi kepada satu parti sahaja dan tidak semua kertas undi pos dikembalikan, malah ada tempat-tempat tertentu yang keputusan undi pos dimenangi oleh calon pembangkang, jika dakwaan menyatakan parti kerajaan telah menyelewengkan sistem pengundian pos maka undi-undi pos di pihak pembangkang tidak mungkin berlaku. Proses pengundian pos agak rumit dan memerlukan ketelitian untuk menerima keputusan sesuatu kertas undi pos, sebab itu dalam keputusan pilihan raya yang lepas didapati banyak kertas-kertas undi pos yang dianggap rosak atau tidak dikembalikan.
Berhubung dengan keperluan pengundian undi pos adalah tidak dapat dinafikan kerana terdapat golongan pengundi- pengundi tentera dan polis yang masih diperlukan bertugas di hari mengundi. Begitu juga dengan pelajar-pelajar dan kakitangan awam yang berada di luar negara, jika sistem undi pos dimansuhkan golongan ini tidak dapat mengundi dan sekali gus menafikan hak 214,939 pemilih pos yang berdaftar sekarang. Soal tohmahan merupakan permainan politik parti-parti yang kalah kerana pemikiran mereka pilihan raya di negara ini hanya dipenuhi dengan penipuan. Mereka tidak mahu menerima hakikat yang mereka tidak diterima oleh pengundi, sedangkan undi pos yang diamalkan di Malaysia ini adalah sama sepertimana yang diamalkan di England, Amerika, Australia dan lain-lain negara demokrasi yang maju di dunia.
[SUMBER SPR)

0 ulasan: