Ahad, 25 Januari 2009

sampah oh sampah


Utamakan kebersihan Pasar Siti Khadijah

KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengingatkan peniaga di Pasar Siti Khadijah supaya mementingkan kebersihan di premis masing-masing. Yang Dipertuanya, Mohd Faudzi Che Mamat berkata, kebersihan menjadi tarikan utama untuk memajukan perniagaan mereka. :Menurutnya, pengguna akan memilih premis yang bersih dan juga peniaga yang mempamerkan keterampilan yang kemas. “Saya berharap barangan (kotak, plastik kertas) yang tidak digunakan dibuang supaya tidak menyebabkan kekotoran dan ruangan menjadi sempit. “Saya mendapati ada juga di antara peniaga yang menyimpan barangan ini dan keadaan itu mengganggu persekitaran mereka berniaga,” katanya semalam. Terdahulu beliau bersama lebih 400 peniaga, persatuan terlibat dan kakitangan MPKB-BRI mengadakan aktiviti membersihkan pasar itu semalam. Beliau berkata, peniaga di Pasar Siti Khadijah perlu sentiasa mengamalkan gaya kerja yang memelihara kebersihan memandangkan pasar itu menjadi tumpuan kepada pengunjung luar dan tempatan. :“Sempena Tahun Kebudayaan Kelantan juga MPKB-BRI berharap peniaga dapat meningkatkan kesedaran mereka supaya tempat urus niaga mereka dijaga dengan elok dan pengunjung luar serta dalam negeri berpuas hati,” katanya. Mohd Faudzi berkata, bagi memastikan peniaga sedar kepentingan kebersihan pihaknya akan mengadakan aktiviti gotong-royong membabitkan peniaga setiap tiga bulan sekali. Menurut Mohd Faudzi, menjaga kebersihan juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan zon bebas sampah di negeri ini pada tahun 2010 nanti.

0 ulasan: