Selasa, 16 Februari 2010

murai oh murai


Burung murai bawa tuah kepada Siong
PENGKALAN KUBOR - Siapa sangka burung murai batu hadiah dari kawannya tiga tahun lalu membawa tuah kepada Siong apabila burungnya itu sering mendapat nombor satu setiap kali menyertai pertandingan. Siong atau nama sebenarnya, Lim Choon Siong, 48, antara peserta pertandingan burung murai batu dan burung murai kampung anjuran Persatuan burung murai Pantai Geting dengan kerjasama Pusat Khidmat Rak-yat (BN) Pengkalan Kubor yang disertai 200 peserta dari seluruh Kelantan. Siong muncul juara kategori burung murai batu manakala juara burung murai kampung disandang oleh Nazarudin Nor, 35 dari Kubang Golok, Bachok yang tidak kurang hebatnya apabila lebih 10 kali burung murainya muncul juara. Siong berkata, walau pun pertandingan burung hanya popular di kalangan orang Melayu, tetapi baginya itu bukan sesuatu yang pelik sekiranya kaum Cina turut berminat dalam dunia ini. “Lagipun saya sejak dari kecil lagi berkawan dengan orang Melayu dan dari kecil juga sudah meminati memelihara burung dan pantang sahaja ada burung dalam semak, mahu ditangkapnya,” katanya. Menurutnya, hobinya ini tidak sia-sia kerana burung murai batu yang diberi nama MU ini tidak menghampakannya apabila lebih lima kali muncul juara. Katanya, dia menjaganya sejak tiga tahun yang lalu dan kerana kemerduan suaranya, dia pernah mendapat sebuah motosikal apabila muncul juara dalam satu pertandingan. “Ini hadiah daripada seorang kawan dan untuk menjaga kemerduan suaranya, ia dimandikan hari-hari serta diberi makan cengkerik,” katanya yang mendapat hadiah sebuah televisyen 15 inci. Menurutnya, walau pun ada yang menawarkan harga yang tinggi, namun dia tidak berminat untuk menjualnya kerana MU ini sebahagian daripada hidupnya. “Saya tidak akan menjualkan kepada sesiapa walau pun harga yang ditawarkan nanti beribu-ribu ringgit sekali pun,” katanya yang merupakan enjen insurans yang mempunyai dua ekor burung murai batu. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar menyampaikan hadiah barangan elektrik kepada pemenang pertandingan burung murai di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat (BN) Pengkalan Kubor bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tumpat, Rosidi Mahmud kamaruddin.

0 ulasan: