Isnin, 7 September 2009

SEMUTAR MERAH


Khas untuk petugas gerak raya di Bagan Pinang
Seingat penulis semasa menerima arahan daripada Datuk Pengarah JPP di Dewan Besar RTM Wakaf Che Yeh berpesan agar petugas-petugas pilihan raya kecil Manik Urai agar memakai baju merah (simbolik) menggambarkan semangat yang kental untuk berjuang.

Jadi, petugas di Bagan Pinang pun haruslah memakai semutar merah....paham-paham lah. Berikut hayatilah kisah di bawah.

(Pahlawan Berserban Merah) Oleh: Abu Dujanah Jr

Nama penuh beliau ialah Abu Dujana Sammak ibn Kharsha. Beliau merupakan
seorang dari kaum Ansar dan merupakan antara yang terawal di kalangan
mereka yang menerima Islam. Di dalam sirah, beliau terkenal dengan
keberaniannya dan sesuatu yang unik tentang beliau ialah beliau memakai
semutar merah yang dililitnya pada kepalanya. Apabila beliau memakai
semutar merah ini, ia melambangkan bahawa semangat juang dan jihad beliau
sedang memuncak dan beliau bersedia untuk berjihad dan syahid di jalan
Allah s.w.t.

Di dalam Perang Uhud, yang merupakan perang yang penting di dalam sejarah
Islam selepas Perang Badar, Rasulullah melarang tenteranya dari memulakan
peperangan kecuali setelah menerima arahan dari Baginda, Rasulullah
menampil dirinya yang lengkap dengan baju besi, seraya merangsang
sahabatnya untuk berperang, mengingatkan mereka supaya bersabar dan
berdaya juang di saat pertembungan sengit, seterusnya Rasulullah memberi
semangat keberanian dan pertahanan diri pada jiwa-jiwa sahabatnya, pada
kemuncaknya Rasulullah mengeluar dan menjulang pedangnya dengan berkata:
“Siapakah yang sanggup mengambil pedang ini dan menunaikan haknya dengan
sebenar? Maka bangunlah beberapa orang untuk mengambilnya, di antara
mereka ialah Ali bin Talib, al-Zubair bin al-Awwam dan Umar bin
al-Khattab, akhirnya bangun Abu Dujanah Sammak bin Kharsyah sambil
bertanya:

“Apakah haknya wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah (s.a.w): “Hendaklah
pukul muka-muka musuh Allah hingga melentok”. Maka jawab Abu Dujanah:
“Akulah orangnya yang akan menunaikan hak pedang itu wahai Rasulullah”.
Lantas Baginda pun menyerahkan pedang itu kepada Abu Dujanah.

Abu Dujanah adalah seorang wira yang berani, beliau menyombong semasa
berhadapan dengan seteru, beliau mempunyai semutar berwarna merah, orang
ramai akan mengetahui bahawa beliau akan berperang hingga ke titisan darah
terakhir bila mana beliau membelit kepalanya dengan semutar merah itu.
Sebaik sahaja beliau menerima pedang itu dari Rasulullah, terus beliau
membelit kepalanya dengan semutar merahnya itu, beliau berjalan di antara
dua saf dengan lagak kesombongannya, di ketika itu Rasulullah bersabda:
“Sebenarnya lagak jalan sebegini dibenci Allah kecuali di suasana
sebegini”.

Ketika asakan begitu sengit di sekeliling panji musyrikin ianya juga
berlaku di tempat-tempat yang lain, semangat orang Islam semakin memuncak
di kalangan mereka, hingga dengan itu mereka terus menerkam ke arah
tentera musyrikin bagaikan ombak melanda benteng, dengan selogan yang
mereka laungkan di hari Uhud, “Amit, Amit” matilah matilah.

Abu Dujanah pula yang telah pun membelit kepalanya dengan semutar merah,
menghunus pedang Rasulullah dengan tekad melaksanakan tugasnya yang
dijanjikan, beliau meluru ke tengah-tengah orang ramai, asal bertembung
dengan musyrik pasti dikerjakannya, beliau bagaikan menolak barisan
musyrikin dengan asakannya. Sebelum ini al-Zubair bin al-Awwam terkilan
juga; “Semasa ku memohon supaya Rasulullah menyerah pedangnnya itu pada ku
lalu Baginda enggan memberinya pada ku malah diserahkan kepada Abu
Dujanah, ku berbisik pada diriku, bukankah aku ini anak Sofiah ibu
saudaranya, daku ini dari bangsa Quraisy pula, daku yang datang sendiri di
hadapan Baginda, daku yang mendahuluinya, namun Baginda tidak
memberikannya, demi Allah aku ingin lihat apa yang beliau hendak lakukan?
Aku ekorinya, kemudian aku ternampak beliau mengeluarkan sehelai kain
merah lalu dililit kepalanya”, maka orang-orang Ansar pun berkata: “Abu
Dujanah sudah pun bawa keluar semutar maut”, di masa itu beliau
berdendang:

Daku ini yang dijanji kekasihku
Semasa dipinggir di tepian tamar itu
Ku bukan wira di belakang saf
Pukulan ku pukulan pedang Rasul dan Allah.

Setiap musyrik melintasi di hadapannya pasti dicantas, di masa itu
terdapat seorang wira di kalangan musyrikin yang tegas, ku berdoa semoga
wira Islam Abu Dujanah bertemu dengan wira musyrik itu, dengan izin Allah
mereka berdua bertemu, masing-masing saling memukul lawannya, si musyrik
tadi menetak Abu Dujanah dengan pedangnya, tapi Abu Dujanah sempat
menangkis dengan perisainya menyebabkan pedangnya patah, apa lagi Abu
Dujanah pun menghayun pedangnya ke badan wira kafir tadi menyebabkan
beliau terhumban ke tanah. Abu Dujanah merempuh baris’an-barisan
peperangan hingga sampai ke barisan pemimpin kaum ibu musyrikin, tanpa
disedarinya kata Abu Dujanah:

“Di sana ku nampak seorang manusia yang mencakar seterunya, aku mara ke
hadapannya sebaik sahaja aku hendak menetaknya tiba-tiba beliau menjerit,
baru aku tahu yang ianya seorang perempuan, daku pun tidak jadi
membunuhnya kerana menghormati pedang Rasulullah, dari membunuh seorang
perempuan”. Perempuan itu rupanya Hindun binti Utbah. Kata al-Zubair bin
al-Awwam: “Daku melihat Abu Dujanah menghayun pedangnya ke atas kepala
Hindun binti Utbah, kemudian beliau tidak jadi menetaknya, ku berkata
hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih mengetahui sedemikian”.

Pada permulaan peperangan, Rasulullah s.a.w. telah berpesan kepada
kumpulan pemanah supaya menjaga bahagian belakang kaum muslimin daripada
serangan pihak musuh. Tetapi apabila kaum musyrikin mula berundur, kaum
muslimin pada ketika itu nampak seperti berada di ambang kemenangan. Pada
ketika itulah, 40 orang dari kumpulan pemanah yang diamanahkan untuk
menjaga di atas Bukit Uhud telah turun untuk mengumpul harta perang yang
ditinggalkan oleh kaum musyrikin di atas sangkaan mereka telah mencapai
kemenangan. Apabila kaum musyrikin melihat keadaan ini, mereka pun
bertindak untuk menyerang kaum muslimin dari arah belakang. Pada ketika
ini, kaum muslimin berada di ambang bahaya kerana tersepit di antara dua
kumpulan kafir quraisy. Oleh sebab ini, askar quraisy telah berjaya
mendekati Rasulullah s.a.w dan mencederakan baginda. Selepas itu, ramai di
antara para sahabat yang hebat membentuk perisai atau benteng untuk
mempertahankan baginda. Antaranya ialah Abu Dujana. Beliau menerima banyak
panahan dan tikaman tetapi sedikit pun tidak tergerak daripada posisinya.
Ini membuktikan betapa cintanya para sahabat kepada Rasulullah s.a.w
sehingga sanggup berbuat demikian.

0 ulasan: