Sabtu, 21 Ogos 2010

Ramadhan

Kedatangan Ramadhan sentiasa mengingatkan kita kepada kejayaan-kejayaan generasi Islam yang awal. Sebagai menggambarkan betapa kekuatan umat Islam yang sebenar adalah pada iman dan komitmennya terhadap perintah Allah, bulan Ramadhan terus menggagahi mereka untuk mara menempa kecemerlangan, sama ada dalam rangka usaha menyampaikan risalah Islam ke kawasan-kawasan baru, mahu pun mempertahan diri dari ancaman musuh dan penjajahan kufar.

Renungilah catatan-catatan di bawah, semoga pulih kembali semangat kita untuk bangkit mengibarkan panji Rasulullah SAW. Pada malam Lailatul Qadar, Allah SWT menurunkan Al-Quran dari Luh Mahfudz ke Baitul ‘Izzah (Langit Pertama), Hal ini dijelaskan oleh firmanNya di dalam surah Al-Qadr. Ini berdasarkan keterangan Ibnu Abbas RA : “"Allah menurunkan Al-Quran Al-Karim keseluruhannya secara sekali gus dari Luh Mahfudz ke Baitul'Izzah (langit pertama) pada malam Lailatul Qadar. Kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW sesuai dengan konteks pelbagai peristiwa selama 23 tahun." Al-Quran seterusnya diturunkan buat kali pertama kepada junjungan mulia Rasulullah SAW oleh Jibrail AS pada bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Hijrah iaitu firman Allah SWT di dalam Surah Al-Alaq ayat 1-5. Pada tahun ke-3 sebelum Hijrah, Saidatina Khadijah RA telah kembali ke rahmatullah.

Manakala pada tahun 1H, Rasulullah SAW menghantar Hamzah bin Abd Muttalib RA bersama 30 orang pengiring ke Saif Al-Bahr menyiasat 300 tentera Quraish yang berhimpun di sana. Baginda juga telah memerintahkan supaya Masjid Dhirar yang dibina oleh kaum Munafiq dirobohkan. Pada tahun 2H, Zakat fitrah mula disyariatkan. 17 Ramadhan 2H Peperangan Badar Al-Kubra terjadi. Ia merupakan pertempuran besar-besaran pertama kaum muslimin menentang kufar. 5H persiapan dimulakan untuk menghadapi serangan yang kemudiannya berlaku pada bulan Syawal iaitu Peperangan Khandaq (Al-Ahzab). Pada tahun 6H, Zaid bin Harithah RA dihantar ke Wadi Al-Qura untuk bertemu dengan Fatimah bt Rabiah, permaisuri di kawasan berkenaan. Pihaknya telah merompak rombongan Zaid RA sebelum itu. Fatimah terbunuh di bulan Ramadhan semasa berhadapan dengan tentera muslimin ini. Ramadhan 7H pula, Ghalib bin Abdullah Al-Laithi RA mengepalai 130 gerombolan tentera Islam menentang Bani 'Awâl dan Bani 'Abd bin Tha'lbah. 10 Ramadhan 8H, Nabi SAW mula melancarkan tentera untuk membebaskan Mekah dari kekufuran dan syirik, ekoran dari pencabulan perjanjian Hudaibiyah. 20 Ramadhan tahun itu, Mekah akhirnya berjaya ditawan oleh tentera Nabi SAW. Peristiwa Futuh Al-Makkah ini memberikan anjakan paradigma kepada Islam dan kekuasaannya. Sejurus selepas itu, Baginda SAW mengutus beberapa kumpulan sahabat untuk merobohkan berhala-berhala yang terkenal pada masa itu. Khalid bin al-Walid diutus merobohkan berhala al-‘Uza, Amr bin al-‘Ash merobohkan berhala Suwa’ dan Sa’d bin Zaid al-Asyhali merobohkan berhala al-Manat. Manakala pada bulan Ramadhan tahun 9H, Baginda SAW telah pulang bersama tentera Islam daripada Peperangan Tabuk yang berlangsung selama 50 hari. Ia merupakan peperangan terakhir yang disertai oleh Baginda SAW.

Delegasi Tsaqif kemudiannya bertemu dengan Nabi SAW sekembalinya Baginda SAW dari Tabuk dengan tujuan untuk menyatakan keIslaman mereka. Pada bulan itu juga Raja Himyar tiba di Madinah untuk mengisytiharkan Islam mereka. Mereka menjadi tetamu Baginda dan Baginda menuliskan beberapa panduan tentang hak dan kewajiban mereka. Catatan ini merupakan salah satu dokumen penting di dalam sejarah perundangan Islam. Pada tahun 10H, Baginda mengutus rombongan yang diketuai ‘Ali bin Abu Talib ke negeri Yaman dengan membawa bersamanya surat Baginda untuk penduduk Yaman, khasnya suku Hamdan yang kesemua mereka memeluk Islam dalam satu hari. Ramadhan tahun itu juga Baginda SAW telah mengasingkan dirinya selama 20 hari, tidak 10 hari sebagaimana kebiasaan yang Baginda SAW lakukan pada Ramadhan tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah petanda utama kembalinya Baginda SAW ke rahmatullah beberapa bulan berikutnya. Tahun 53H, pejuang Arab Islam telah berjaya menakluki pulau Rudes. 2 Ramadhan 2H, Al-Maghreeb Al-Awsath telah menerima Islam. 7 Ramadhan 89H, Daher King of Sind terbunuh. Pada tahun 91H, Pejuang Islam di bawah kepimpinan Tariq ibn Ziyad mula mendarat di Selatan Andalus. 28 Ramadhan 92H, Tariq bin Ziyad dan tenteranya dapat mengalahkan King Roderic of the Visigoths di dalam satu peperangan sengit. Pada 1 Ramadhan 114H, Peperangan Balat Asy-Syuhada berlaku. Ramadhan 132H, berakhirnya pemerintahan Bani Umaiyyah. Abu al ‘Abbas dilantik sebagai khalifah al-‘Abbasiyyah yang pertama. 6 Ramadhan 222H, merupakan tarikh pembukaan Islam di kawasan Amouriah. Universiti Al-Azhar telah siap dibina pada Ramadhan 361H. Salahuddin Al-Ayyubi berjaya membebaskan Palestin dan Syam amnya dari penguasaan tentera Salib pada Ramadhan 585H.

Tentera Islam pula telah berjaya mengalahkan tentera Perancis yang dipimpin oleh Louis the 9th. Louis telah dipenjarakan di Mansurah pada tahun 647H. 25 Ramadan 658H, Peperangan Ain Jalut berlaku. Saifuddin Al-Qatz berjaya mengalahkan tentera Tatar yang telah menghancurkan Baghdad daripada bergerak ke Mesir bagi menawan Kaherah. 14 Ramadhan 666H, kawasan Antakya yang menjadi pusat Kristian telah berjaya ditawan. Sesungguhnya masih banyak lagi cacatan mengenai peristiwa-peristiwa seumpama ini yang boleh dicatatkan, terutamanya di zaman pemerintahan Khilafah Othmaniyyah sendiri. Walau bagaimana pun, apabila penggunaan kalender Islam mengalami perubahan, catatan juga telah dilakukan dengan menggunakan taqwim yang berbeza

Selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924, umat Islam secara rasminya mula menggunakan kalender Gregorian dan meninggalkan kalendar Islam mahu pun kalender Othmaniyyah sendiri. Namun Insya Allah, masalah ini boleh diatasi dengan usaha gigih kita untuk mengembalikan identiti Islam di dalam segenap aspek kehidupan, individu, keluarga, masyarakat mahu pun negara. Semoga Ramadhan kali ini dapat menjadi pemangkin yang membarakan semangat jihad di dalam diri kita. Sesungguhnya mereka yang mati dalam keadaan tidak pernah berjihad atau memasang niat untuk berjihad, maka matinya adalah di atas salah satu cabang nifaq!

Selamat datang ya Ramadhan

0 ulasan: